BURUH ASING DITAHAN DISYAKI ROGOL REMAJA DI BRUMAS

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU,13 MEI- Seorang buruh warga asing ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Brumas, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat bapa tiri mangsa kira-kira jam 12.55 tengah malam selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Menurutnya, mangsa mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika dia berjalan pulang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin sebelum ditahan suspek yang dikenalinya dan dibawa masuk ke dalam rumah lelaki terbabit.

“Suspek dipercayai menutup mulut mangsa menggunakan kain sebelum bertindak merogolnya,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai bersama Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad menjalankan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja di Brumas.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk pakaian dan tilam dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Share This Article