SABAH TAWAR 5,400 PELUANG KERJA & FOKUS PENEMPATAN TEMPATAN

sabahheadlines
2 Min Read

​KOTA KINABALU, 10 MEI- Kerajaan komited memperkasakan pasaran buruh tempatan apabila sebanyak 80 peratus daripada 5,400 kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam Karnival Lindung Kerjaya MyFuturejobs Peringkat Negeri Sabah 2026 melibatkan penempatan di dalam negeri.

​Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, inisiatif yang menghimpunkan 54 majikan pelbagai sektor itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses terus kepada peluang pekerjaan.

Menurut beliau, tumpuan utama penganjuran ini adalah untuk mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan taraf ekonomi rakyat di bawah aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

​“Daripada jumlah keseluruhan peluang yang disediakan, majoritinya adalah di Sabah sendiri.

Kita mahu memastikan jurang pengangguran dikecilkan melalui padanan kerja yang tepat bagi modal insan tempatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

​Mengulas lanjut, Khairul Firdaus memaklumkan penubuhan Sabah Talent Development Centre (STDC) akan dilancarkan dalam masa terdekat sebagai pusat sehenti pembangunan bakat.

Jelasnya, STDC bakal berfungsi menyelaraskan latihan kemahiran agar selari dengan kehendak industri semasa, sekali gus memperkukuh sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui PERKESO serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

​Program ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan ekosistem kerjaya yang mampan, memastikan setiap latihan dan kemahiran yang diberikan kepada pencari kerja memenuhi piawaian serta permintaan pasaran buruh masa kini.

Share This Article