KUDAT 8 MEI-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 4,000 liter petrol yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran dalam operasi di perairan Kudat, semalam.
Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan dan rondaan penguatkuasaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI, Op Tiris dan Op Naga.
Menurutnya, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.5 batu nautika timur laut Pulau Linggisan sebelum dipintas bot ronda Maritim Malaysia.
“Bagaimanapun kru bot terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan beberapa tong drum berisi petrol yang dianggarkan berjumlah kira-kira 4,000 liter dan dipercayai cuba diseludup ke Filipina.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit atau dokumen sah.
Bot bersama muatan yang dirampas dibawa ke jeti Lembaga Bandaran Kudat untuk tindakan lanjut.
Hasbullah berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan rondaan keselamatan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut supaya menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera.
