LEBIH BANYAK PROGRAM BELIA DAN SUKAN BAKAL DILAKSANA DI SABAH

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,8 MEI-Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan untuk memperluaskan pelbagai inisiatif pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

Beliau berkata, usaha yang dirancang kerajaan Persekutuan itu mampu memperkukuh agenda pembangunan modal insan serta memperkasa sektor sukan di Sabah.

Menurutnya, sukan juga berperanan penting sebagai medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan, Dr Muhammed Taufiq Johari di Menara Kinabalu pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Mansur Asun.

Dalam pertemuan itu, Muhammed Taufiq memaklumkan kementeriannya telah mengenal pasti beberapa program baharu untuk memperkukuh pembangunan belia dan sukan di Sabah, termasuk potensi pelancongan sukan sebagai sektor yang boleh diperkembangkan.

Beliau turut memuji komitmen Sabah yang akan menghantar kontinjen kira-kira 200 peserta bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara di Negeri Sembilan pertengahan bulan ini.

Share This Article