SANDAKAN,6 MEI -Akibat berzikir di tanah perkuburan pada tengah malam, lima lelaki didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Kesemua mereka mengaku bersalah melakukan bida’ah dan furu’ dengan berzikir di kawasan perkuburan dalam gelap malam, pada Disember 2025.
Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Sandakan, Khalid Suahid selepas semua tertuduh yang berusia antara 35 hingga 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 dibaca bersama Seksyen 65(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 yang memperuntukkan tindakan terhadap amalan bida’ah dan perkara berkaitan furu’.
Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwa Syarie, Mohd. Nadzrie Ag. Jaynudin dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Manakala siasatan dijalankan Unit Penguatkuasa Agama JHEAINS diketuai Pegawai Tadbir JHEAINS Sandakan, Ustaz Rahmin Arman serta Pegawai Penguatkuasa Agama (Operasi) Ustaz Sabli Ali.
Semua tertuduh kemudiannya membayar denda yang ditetapkan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.
Pada Disember 2025 tular video sekumpulan individu berzikir di perkuburan pada waktu tengah malam.
