TEKNOLOGI CANGGIH PERKUKUH KESELAMATAN ESS ZONE,TARIK KEYAKINAN PELABUR-HAJIJI

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 6 MEI– Penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) akan menjadi teras utama dalam usaha memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan keupayaan keselamatan menerusi pemodenan aset serta penggunaan teknologi seperti dron, radar dan analisis data raya (Big Data) bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh dan respons yang lebih pantas terhadap sebarang ancaman.

Menurutnya, selaras dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, penggunaan AI dalam operasi keselamatan perlu diperkasakan agar sistem pertahanan negeri lebih kukuh bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga digital.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESS Zone di Dewan Perdana, di sini hari ini.

Hajiji menegaskan bahawa aspek keselamatan merupakan prasyarat utama dalam menarik keyakinan pelabur serta memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut terkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan di ESS Zone akan dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial.

Tambahnya, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0, meliputi industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.

Dalam pada itu, beliau berkata Lahad Datu mempunyai potensi ekonomi besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran namun ia bergantung kepada tahap keselamatan yang stabil.

Hajiji turut menekankan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak kepada pasukan keselamatan sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat setempat sebagai rakan strategik.

Beliau menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keamanan terus terpelihara.

Selain itu, katanya kebajikan anggota keselamatan akan terus diberi perhatian melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik.

Program lawatan tinjauan keselamatan itu, menurut beliau turut menjadi platform untuk menilai kekuatan dan kelemahan sedia ada bagi merangka penambahbaikan yang lebih berkesan.

Di majlis itu Hajiji turut menyerahkan kunci rumah SMJ kepada enam orang penerima daripada DUN.61 Segama dan lima penerima daripada N.62 Silam.

Share This Article