KOTA KINABALU, 30 APRIL -Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini menyampaikan insentif khas berjumlah RM5,000 kepada atlet Muaythai negeri, Emmabell Cassandra sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.
Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Hajiji berkata, kejayaan yang diraih Emmabell membuktikan atlet Sabah memiliki kemampuan tinggi untuk bersaing di peringkat global sekali gus mengangkat nama negeri dan negara.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan malah diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada golongan muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Emmabell sebelum ini mencipta kejayaan apabila muncul juara kategori wanita dalam kejohanan Byon Combat Showbiz 7 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Juil Nuatim; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Haji Asun.
