PASTIKAN WAKIL KERAJAAN MENANG DI KOTA MARUDU PADA PRU16

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA MARUDU, 18 APRIL- Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada pada landasan kukuh untuk merampas dan mengekalkan kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau berkata, kesepaduan dalam kalangan pemimpin parti komponen GRS menjadi faktor utama yang memperkukuh kedudukan gabungan itu khususnya dengan penguasaan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan iaitu Tandek, Matunggong dan Bandau.

Menurutnya walaupun kerusi DUN Bandau disandang wakil rakyat Bebas, Datuk Maijol Mahap sokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lalu turut memperkukuhkan kedudukan GRS di kawasan itu.

“Kerjasama semua wakil rakyat di sini amat baik dan memberi keyakinan kepada kita untuk memastikan Kota Marudu kekal diwakili kerajaan pada PRU akan datang.

“Saya berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan retorik pembangkang sebaliknya menilai prestasi kerajaan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tempoh pentadbiran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau bersama Pejabat Daerah Kota Marudu, di Astaka Dataran Kota Marudu hari ini.

Mengulas lanjut Hajiji memaklumkan kerajaan negeri kini memberi keutamaan kepada penyelesaian isu asas rakyat seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya yang dijangka dapat ditangani dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Katanya, komitmen itu disokong oleh penyaluran projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai lebih RM4 bilion oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan mulai tahun ini, dengan penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan kerajaan pimpinannya terus komited membantu golongan memerlukan, termasuk pelaksanaan bantuan kepada kira-kira 140,000 rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar di seluruh Sabah pada tahun ini.

“Kerajaan bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan ekonomi negeri, tetapi juga memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, terus terbela,” katanya.

Pada majlis sama beliau turut mengumumkan kelulusan dua projek pembangunan di DUN Bandau melibatkan pembinaan sebuah masjid baharu di Kampung Tambun serta projek Jambatan Dasar Kampung Lamparda, masing-masing dengan peruntukan RM500,000.

Share This Article