KOTA KINABALU, 29 APRIL – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh hasil negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Penegasan itu susulan penyerahan bayaran dividen berjumlah RM1 juta bagi tahun kewangan berakhir 2024 serta bayaran caj tanah sebanyak RM3.2 juta bagi tahun 2025 oleh Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.
Menurut beliau, sumbangan tersebut mencerminkan prestasi kukuh serta komitmen berterusan agensi berkenaan dalam menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.
Katanya, hasil yang diperoleh itu amat penting bagi memperkasakan keupayaan kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick selain Pembantu Menteri, Datuk Jonnybone Kurum serta Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Thomas Logijin.
