LEBIH 16,000 HEKTAR TANAH BEKAS KONSESI SFI DIWARTAKAN SEBAGAI RIZAB PERKAMPUNGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 29 APRIL-Kerajaan Negeri telah mengeluarkan lebih 16,000 hektar kawasan tanah daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan bagi manfaat rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata langkah itu melibatkan kawasan seluas 39,482 ekar (15,978 hektar) dalam Hutan Simpan Sipitang (Kelas II) yang dikeluarkan pada tahun 2025 bagi tujuan tanah rizab perkampungan untuk komuniti setempat.

Menurutnya, sebelum itu pada tahun 2023 seluas 108.72 ekar (44 hektar) turut dikeluarkan bagi tujuan sama.

“Dengan itu jumlah keseluruhan kawasan yang telah dikeluarkan adalah kira-kira 39,590 ekar bersamaan 16,022 hektar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yusri Pungut (Sindumin – Warisan) pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini, hari ini.

Joniston menjelaskan, keputusan mengeluarkan kawasan berkenaan dibuat hasil penelitian Jabatan Perhutanan Sabah melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua komuniti serta penduduk kampung.

Katanya, pembubaran beberapa kawasan hutan simpan itu bertujuan memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung khususnya dari segi penempatan dan pembangunan komuniti.

Share This Article