PP BAHARU DIAKTIFKAN SUSULAN KEBAKARAN SETINGGAN DI JALAN BOKARA

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 29 APRIL– Sebuah pusat pemindahan (PP) baharu telah diaktifkan susulan kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan di belakang stesen Petronas, Jalan Bokara di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson, berkata pengisytiharan pembukaan pusat pemindahan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Menurut beliau, pusat pemindahan tersebut dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Air pada jam 9 pagi hari ini bagi menempatkan penduduk terjejas.

“Pusat pemindahan ini diaktifkan selepas pemeriksaan mendapati kawasan serta rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebakaran berkenaan melibatkan penempatan setinggan di belakang Petronas Jalan Bokara dalam kawasan Parlimen Batu Sapi (P.185) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting (N.54).

Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah digerakkan bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin sepanjang tempoh pemindahan.

Orang ramai yang terjejas dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan yang disediakan.

Share This Article