GAGASAN SOKONG KENYATAAN HAJIJI

sabahheadlines
2 Min Read

JALIE MOHAMAD

SANDAKAN (10 MEI): Parti Gagasan Rakyat Sabah menyambut baik kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menekankan kepentingan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa parti tempatan wajar menjadi tunjang pentadbiran negeri kerana mereka lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.

“GRS bukan sahaja membawa suara tempatan, malah terbukti berjaya memacu kestabilan dan pembangunan menerusi dasar Halatuju Sabah Maju Jaya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kelmarin Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata prinsip asas yang dipegang GRS ialah bahawa kerajaan negeri Sabah harus dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengenepikan peranan parti nasional dalam kerjasama yang lebih luas.

“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat akar umbi,” kata Hajiji lagi

Nizam mengingatkan bahawa aspirasi akar umbi tidak harus diketepikan, terutama dalam perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala mengabaikan konteks dan sensitiviti politik Sabah.

“Kami menghormati peranan parti nasional dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi kerjasama politik perlu dibina atas asas saling menghormati. Sebarang cubaan membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS adalah pra-matang dan tidak ikhlas kepada rakyat Sabah,” tambahnya.

Katanya, Gagasan Rakyat komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, memperkasakan suara tempatan dan memastikan kemajuan berterusan negeri Sabah.

Share This Article