TUJUH RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KAMPUNG GUMPA, SEORANG CEDERA RINGAN

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 17 APRIL – Tujuh buah rumah musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Gumpa di sini, pagi kelmarin dalam kejadian yang turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan.

Operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) M. Najib Jasri selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 pagi.

Susulan itu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat segera dikerahkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh singkat sebelum tindakan pemadaman dimulakan kira-kira jam 10.42 pagi.

Kebakaran tersebut berjaya dikawal sepenuhnya selepas lebih tiga jam operasi dijalankan dengan api dipadamkan sekitar jam 2.15 petang.

Menurut maklumat di lokasi lima buah rumah jenis separuh kekal mengalami kemusnahan hampir keseluruhan manakala dua lagi rumah tidak kekal hangus sepenuhnya, termasuk sebuah yang tidak didiami.

Selain kediaman kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Satria dan dua motosikal. Tiga rumah berhampiran pula dilaporkan mengalami kerosakan kecil akibat bahangan haba.

Mangsa yang cedera seorang lelaki dewasa dilaporkan melecur di bahagian belakang badan dan telah menerima rawatan awal.

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai lapan anggota bertugas dibantu 12 anggota luar waktu serta tujuh anggota bomba sukarela. Turut sama membantu ialah beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Air.

Pasukan bomba menggunakan beberapa jentera dan kenderaan sokongan bagi mengawal kebakaran yang berlaku kira-kira satu kilometer dari balai.

Punca insiden serta anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan sedang dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Share This Article