SAWIT KINABALU RAI WARGA KERJA, UMUM BONUS TIGA BULAN GAJI

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 14 APRIL – Peranan Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah terus diperkukuh sejajar dengan komitmennya dalam memastikan kelestarian industri sawit serta kebajikan warga kerjanya.

Seiring dengan usaha tersebut, Kumpulan Sawit Kinabalu menganjurkan Majlis Silaturrahim Bersama Kakitangan Wilayah Lahad Datu 2026 yang berlangsung di Dewan Ladang Sandau, di sini pada Isnin.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr Musa yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dengan dihadiri kehadiran kira-kira 300 kakitangan termasuk pengurusan tertinggi syarikat.

Turut hadir, Datuk Victor Ationg, Syamsul Bakri dan Zarkarni Samsul.

Victor dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada Hazem Mubarak atas penganugerahan gelaran Datuk baru-baru ini selain menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh mencabar buat syarikat.

Bagaimanapun beliau berkata, Sawit Kinabalu masih berjaya mengekalkan prestasi konsisten hasil komitmen padu seluruh warga kerja.

“Sebagai tanda penghargaan, pihak syarikat mengumumkan pemberian bonus sebanyak tiga bulan gaji kepada semua kakitangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga kerja supaya berbelanja secara berhemah dalam keadaan ekonomi semasa di samping memaklumkan pemberian duit raya kepada semua kakitangan sempena majlis tersebut.

Sementara itu, Hazem Mubarak dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan syarikat dalam industri sawit negeri.

” Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai GLC dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sabah.

“Komitmen, disiplin dan integriti dalam melaksanakan tugas perlu terus diperkukuh bagi memastikan kecemerlangan syarikat dapat dikekalkan,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian memalu gong sebanyak tiga kali oleh Hazem Mubarak bersama barisan pengurusan tertinggi diikuti penyampaian cenderahati serta persembahan.

Share This Article