SABAH FC BURU KEJUARAAN, 2 RIBU TIKET PERCUMA RANCAKKAN FINAL PIALA CABARAN MFL

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 14 APRIL-Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Hj. Nizam bin DSP Hj. Abu Bakar Titingan mengumumkan sebanyak 2,000 tiket percuma akan diagihkan kepada penyokong sebagai usaha menyemarakkan sokongan menjelang aksi final Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2026.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kehadiran penyokong yang lebih ramai di Stadium Lika, sekali gus memberi suntikan moral kepada Sabah FC yang kini berada di ambang menamatkan penantian panjang untuk merangkul kejuaraan.

Menurutnya, tiket berkenaan akan diagihkan secara ‘siapa cepat dia dapat’ oleh urus setia di pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.

Sabah FC melangkah ke pentas akhir selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kempen, dengan perlawanan penentuan dijadual berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas. Aksi timbal balik sebelum ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertemuan pertama di Pulau Pinang, menjadikan perlawanan kedua sebagai penentu kejuaraan.

Dalam pada itu beliau turut menggesa penyokong bola sepak negeri agar memenuhi stadium yang berkapasiti kira-kira 20,000 tempat duduk bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kebanggaan Sabah.

Perlawanan akhir tersebut dijangka turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj. Noor sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan, khususnya bola sepak.

Mengulas lanjut kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan pemberian insentif kepada pasukan sekiranya berjaya menjulang trofi.

Sementara itu mengenai pendekatan terkini kerajaan Persekutuan yang tidak menyediakan perkampungan sukan, beliau berkata pemberian subsidi sebanyak RM100 kepada atlet dan pegawai merupakan langkah praktikal dalam mengimbangi keperluan semasa ekonomi.

Katanya, walaupun pendekatan tersebut lebih sederhana ia tidak akan menjejaskan semangat atlet untuk terus beraksi cemerlang di pentas pertandingan.

Share This Article