SANDAKAN, 12 APRIL– Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan 28 pegawai dari Pejabat Imigresen Sandakan yang melakukan pemeriksaan terhadap 95 individu di tiga premis berasingan. Hasil pemeriksaan itu membawa kepada penahanan 49 individu yang dipercayai melanggar undang-undang imigresen negara.
Daripada jumlah yang ditahan 13 adalah lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa manakala selebihnya melibatkan 21 kanak-kanak terdiri daripada 14 lelaki dan tujuh perempuan. Kesemua mereka merupakan warga asing dari Filipina, Indonesia dan Pakistan.
Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Mereka kini disiasat mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut kenyataan JIM Sabah, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini. Pada masa sama tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Orang awam turut digesa agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran pendatang asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan.
