DUA PEMANDU DITAHAN DALAM OP MABUK DI PENAMPANG

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 12 APRIL – Polis menahan dua lelaki tempatan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas yang dijalankan di Jalan Penampang–Kota Kinabalu, awal pagi kelmarin.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang bagi membanteras kesalahan memandu dalam keadaan mabuk serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melebihi had kandungan alkohol yang dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya..

Dalam operasi sama pihak polis turut mengeluarkan 11 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk dua kes melibatkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu.

Sepanjang operasi tersebut sebanyak 65 individu dan 60 kenderaan telah diperiksa.

Menurut beliau, Op Mabuk akan terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Share This Article