DUA PEMANDU DITAHAN DALAM OP MABUK DI PENAMPANG

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 11 APRIL – Dua lelaki tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata kedua-dua individu berkenaan ditahan selepas didapati melebihi had kandungan alkohol yang dibenarkan ketika memandu. Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh dua tahun.

Dalam operasi sama pihak polis turut mengeluarkan 14 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk empat kes melibatkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah.

“Operasi ini diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad bersama enam anggota lain. Sepanjang operasi, sebanyak 67 individu dan 56 kenderaan telah diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pelaksanaan Op Mabuk adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.

Share This Article