PPM TAWAU TUMPASKAN SINDIKET DIESEL, RAMPASAN CECAH LEBIH RM1.1 JUTA

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 11 APRIL – Kegiatan penyelewengan minyak diesel di sekitar Jalan Sin San berjaya ditumpaskan susulan serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam satu operasi khas, semalam.

Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan awal berdasarkan maklumat awam sebelum pasukan bertindak mengekori sebuah lori 21 tan jenis Nissan yang mencurigakan hingga ke sebuah gudang tertutup di kawasan terbabit.

Serbuan yang dijalankan kemudiannya mendedahkan aktiviti pemindahan diesel secara tidak sah yang dipercayai telah beroperasi di lokasi berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui tiga buah lori, tiga unit tangki skid serta 10 tong drum yang digunakan dalam kegiatan tersebut. Selain itu sebanyak 30,800 liter minyak diesel turut dirampas.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.16 juta sekali gus menjadikannya antara kejayaan terbesar PPM Tawau dalam membanteras penyelewengan bahan api setakat ini.

Dalam operasi sama seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala pihak Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di negeri ini.

Share This Article