LELAKI DITAHAN DISYAKI PANDU MABUK DALAM OPERASI TRAFIK DI TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 10 APRIL – Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas yang dijalankan di Jalan Dominic, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 1.30 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang melaksanakan sekatan jalan raya di sekitar bandar ini.

Menurut beliau, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan awal mendapati tahap alkohol dalam badan melebihi had yang dibenarkan.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani ujian lanjut melalui pengambilan sampel darah bagi mengesahkan kandungan alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan had kandungan alkohol yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 miligram bagi setiap 100 mililiter darah dan tindakan penahanan boleh diambil sekiranya bacaan melepasi paras tersebut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan pesalah berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang hukuman lebih berat boleh dikenakan termasuk penjara sehingga lima tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta penggantungan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun bagi kesalahan pertama dan minimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana ia mengundang risiko tinggi kepada keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Polis akan terus memperketat pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang trafik,” tegasnya.

Share This Article