KOTA KINABALU, 6 APRIL– Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan cadangan pembinaan hospital Institut Jantung Negara (IJN) di Likas sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, inisiatif itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk Sabah khususnya dalam mendapatkan rawatan penyakit jantung secara lebih cepat dan berkualiti tanpa perlu ke Semenanjung Malaysia.
Perkembangan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan Institut Jantung Negara dalam satu majlis rasmi hari ini.
Hospital khusus bagi rawatan kardiovaskular itu dijangka meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan pakar, selain membantu mengurangkan kos rawatan dan beban perjalanan pesakit.
Dalam masa sama, projek berkenaan turut membuka peluang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor kesihatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri termasuk potensi dalam pelancongan kesihatan.
Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan oleh YB Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan YB Datuk Jasnih Daya manakala pihak IJN diwakili oleh Prof Dato Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib serta Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
