KOTA KINABALU, 1 Mac — Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) menahan 22 warga asing dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.
Menurut kenyataan jabatan itu, operasi di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dikendalikan Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu dengan kekuatan 17 pegawai. Pemeriksaan dijalankan terhadap 17 individu membabitkan sembilan warganegara tempatan dan lapan warga asing.
Hasilnya, dua warga Filipina masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Sementara itu, operasi berasingan oleh JIM di Sipitang melibatkan 14 pegawai penguat kuasa dan membawa kepada penahanan 20 warga asing atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Daripada jumlah tersebut, tangkapan membabitkan 15 warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan. Turut ditahan ialah lima warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak perempuan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JIM Sabah dalam kenyataan sama menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berkala bagi mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara
TAMAT
