KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan MyKad milik individu lain termasuk ahli keluarga bagi tujuan pembelian bahan api bersubsidi kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata MyKad adalah dokumen pengenalan diri rasmi yang hanya boleh digunakan oleh pemilik sah dan tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua urusan.
Beliau menjelaskan, larangan tersebut selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang menetapkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan milik orang lain adalah satu kesalahan.
“Individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut beliau, setiap urusan pembelian bahan api bersubsidi perlu dilakukan sendiri oleh pemegang MyKad dan sebarang tindakan meminjamkan atau menyerahkan dokumen berkenaan kepada orang lain boleh mengundang tindakan undang-undang.
Amaran itu dikeluarkan susulan beberapa kes dikesan melibatkan penyalahgunaan MyKad dalam pembelian petrol bersubsidi di seluruh negara yang telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut selain siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959.
Sementara itu, JPN memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan dokumen pengenalan diri khususnya melibatkan penyelewengan bahan api bersubsidi.
