ABDUL RAHMAN DAHLAN LETAK JAWATAN KETUA UMNO TUARAN, KEKAL DALAM MKT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 4 APRIL — Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa serta-merta, dalam satu keputusan yang disifatkan sebagai langkah peribadi.

Perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan tertinggi parti.

Menurut Abdul Rahman, keputusan berkenaan dibuat selepas menimbang pelbagai faktor termasuk hala tuju politik dan peranan yang ingin dimainkan pada masa hadapan.

“Langkah ini adalah atas pertimbangan peribadi dan tidak berkait dengan sebarang krisis dalam UMNO Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa landskap politik semasa di Sabah memerlukan pembaharuan kepimpinan dengan memberi ruang kepada generasi lebih muda bagi memastikan kesinambungan parti.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman menegaskan beliau masih setia bersama UMNO buat masa ini, meskipun mengakui menerima beberapa tawaran daripada parti lain.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu, Abdul Rahman pada awalnya dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, namun menarik diri bagi memberi laluan kepada calon baharu yang mewakili anak tempatan kawasan itu.

Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Mohd Hasnol Ayub dilaporkan mengambil alih peranan sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah menggantikan Abdul Rahman.

Share This Article