KUDAT, 5 APRIL — Sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Borud, Kampung Tinangol, di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 2.02 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat digerakkan ke lokasi kejadian.
Jentera pertama tiba kira-kira 38 minit kemudian dan operasi pemadaman dimulakan sejurus selepas itu di bawah seliaan Komander Operasi, PBK I Mohd Najib Jasri.
Seramai sembilan anggota bersama dua jentera, masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran hos bantuan (hose reel) dan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air daripada tangki jentera bagi mengawal serta memadam kebakaran.
Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
