KETUA MENTERI RAI AIDILFITRI BERSAMA PENGAMAL MEDIA SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 4 APRIL — Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama lebih 200 pengamal media Sabah dalam satu majlis mesra yang berlangsung di Magellan Sutera Resort, di sini, malam kelmarin.

Majlis itu menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk media kerajaan, arus perdana dan platform digital, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan komuniti media.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Mariah Doksil, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Datuk Jimmy Goh, selain ketua-ketua pengarang, ketua biro serta wakil jabatan kerajaan.

Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Khan Bahadar.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Media dan Komunikasi di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong, pihak kerajaan merakamkan penghargaan terhadap komitmen pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

Menurut beliau, media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat dalam memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat difahami dengan jelas.

“Kerajaan negeri menghargai peranan media dalam menyalurkan maklumat berkaitan dasar kerajaan di samping membawa suara rakyat untuk perhatian pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam era kepantasan penyebaran maklumat, aspek ketepatan dan kesahihan berita perlu terus diberi keutamaan.

“Media yang berkesan ialah media yang menyampaikan laporan tepat dan boleh dipercayai sekaligus menjadi rujukan utama masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, Pejabat Media dan Komunikasi akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua organisasi media bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan kerajaan negeri dapat dilakukan secara pantas dan tepat.

Share This Article