TAWAU, 3 APRIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau mempergiatkan penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bersama beberapa agensi bagi memastikan pematuhan peraturan perniagaan serta melindungi kepentingan pengguna.
Operasi yang dijalankan dari 1 hingga 3 April itu melibatkan kerjasama Kawal Selia Padi (KPB), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Tawau (MPT), dengan fokus pemeriksaan menyeluruh di kawasan bandar.
Menurut kenyataan KPDN, pemeriksaan tersebut memberi penekanan terhadap pemantauan bekalan barangan kawalan, pematuhan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat oleh peniaga bagi memastikan semua peraturan dipatuhi.
Dalam masa sama, operasi itu turut bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan asas kekal mencukupi dan stabil di pasaran tempatan, selain mengesan sebarang bentuk penyelewengan yang boleh menjejaskan pengguna.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang melanggar peraturan apabila menggunakan alat timbang dan sukat yang telah tamat tempoh untuk tujuan perdagangan. Tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut peruntukan Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Di bawah peruntukan berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
KPDN Tawau menegaskan akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika dan mematuhi undang-undang, sekali gus menjamin kepentingan pengguna terus terpelihara.
