605 CALON SPM 2025 SABAH RAIH SEMUA A

sabahheadlines
3 Min Read

RANAU, 31 MAC-Prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sabah menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila seramai 605 pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu merangkumi pelajar yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A-iaitu meningkat 25 orang berbanding 580 calon pada SPM 2024.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Raisin Saidin berkata jumlah berkenaan mewakili 1.63 peratus daripada keseluruhan 37,036 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menduduki peperiksaan itu di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya tiga pelajar mencatat keputusan semua A+ pada SPM 2025 berbanding enam pelajar pada tahun sebelumnya.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang pada SPM 2025 berbanding enam orang pada SPM 2024.

“Bilangan calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- pula adalah seramai 605 orang (1.63%) pada SPM 2025 berbanding 580 orang (1.64%) pada SPM 2024, menunjukkan peningkatan seramai 25 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di SMK Agama Mohamad Ali, di sini.

Sementara itu, katanya seramai 6,150 calon atau 16.61 peratus memperoleh sekurang-kurangnya kepujian (Gred C) dalam semua mata pelajaran meningkat berbanding 3,437 calon (9.74%) pada SPM 2024.

Menurutnya, peningkatan itu melibatkan pertambahan seramai 2,713 calon atau 6.87 peratus.

“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus (Gred E) dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 14,533 orang (39.24%) pada SPM 2025 berbanding 13,625 orang (37.64%) pada SPM 2024.

“Ini menunjukkan peningkatan seramai 908 calon atau 1.60 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata indeks Gred Purata Negeri (GPN) Sabah turut menunjukkan peningkatan apabila mencatat 4.85 mata pada SPM 2025 berbanding 5.00 mata pada tahun sebelumnya.

“Sukacita dimaklumkan bahawa secara keseluruhan pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri Sabah berdasarkan indeks GPN adalah lebih baik berbanding tahun sebelum nya dengan penurunan sebanyak 0.15 mata,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya seramai 34,737 calon atau 95.60 peratus daripada calon sekolah KPM di Sabah layak dianugerahkan sijil pada SPM 2025,
meningkat berbanding 32,501 calon (94.68%) pada SPM 2024.

Katanya, angka itu menunjukkan pertambahan seramai 2,236 calon atau peningkatan sebanyak 0.92 peratus.

Share This Article