SANDAKAN, 30 Mac – Satu kebakaran hutan dipercayai berlaku di kawasan Batu 2 setengah berhampiran terminal bas Sandakan apabila kepulan asap tebal dikesan di kawasan tersebut sebentar tadi.
Kepulan asap yang jelas kelihatan dari kawasan perumahan berhampiran telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat terutama kerana lokasi kejadian terletak di laluan utama kenderaan.
Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dilaporkan telah tiba di lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman serta mengawal keadaan daripada terus merebak.
Bagaimanapun punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran, khususnya dalam keadaan cuaca panas.
