BATU SAPI, 27 Mac – Seramai 351 ketua isi rumah di Kampung Bokara dan Kampung Air menerima sumbangan bakul makanan menerusi satu program kebajikan yang dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah menangani peningkatan kos sara hidup.
Inisiatif tersebut digerakkan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial di kawasan berkenaan.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Ajak Hj Sadikal yang mewakili Ahli Parlimen berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 193 ketua isi rumah adalah dari Kampung Bokara manakala 158 lagi dari Kampung Air, dengan agihan dilaksanakan secara serentak di kedua-dua lokasi.
Program bantuan itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan harian khususnya bagi keperluan barangan dapur, selain memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi perhatian secara menyeluruh.
TAMAT
