Empat Lelaki Ditahan Dalam Ops Tapis di Sandakan, Positif Dadah

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 27 Mac 2026 – Empat lelaki ditahan dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, awal pagi hingga petang semalam.

Operasi bermula jam 12.20 tengah malam hingga 4 petang itu tertumpu di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, termasuk Batu 1, Taman Kenari Batu 7 serta Kampung Cenderamata Bukit di Jalan Batu Sapi.

Dalam operasi tersebut, dua lelaki diberkas kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kesemua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, lalu ditahan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi lelaki turut dibawa oleh anggota dari Balai Polis Seguntur ke pejabat BSJND untuk tujuan ujian saringan air kencing, sebelum didapati positif bahan terlarang yang sama dan ditahan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.

Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman dalam mempergiat usaha membanteras jenayah dadah di daerah.

TAMAT

Share This Article