KOTA KINABALU, 25 Mac — Polis Sabah belum menerima makluman rasmi berkaitan status pembebasan parol kepada bekas menteri Sabah, Datuk Peter Anthony.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung status pembebasan berkenaan
Difahamkan, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah kembali ke Sabah sekitar pertengahan bulan ini selepas menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.
Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa individu terbabit layak dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani sebahagian tempoh hukuman seperti diperuntukkan undang-undang.
Melalui sistem tersebut, banduan boleh menjalani baki hukuman di luar penjara dengan syarat tertentu, termasuk pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan sabitan terhadap Peter Anthony atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekali gus memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara.
Pada 2022, beliau yang ketika itu merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berkaitan projek penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal di universiti berkenaan. Denda tersebut telah dijelaskan.
Kes berkenaan melibatkan pemalsuan surat bertarikh 9 Jun 2014 yang didakwa dikeluarkan daripada pejabat Timbalan Naib Canselor UMS dengan memasukkan butiran tidak benar bagi tujuan penipuan.
Peter Anthony mula mencuri perhatian dalam arena politik negeri selepas dilantik sebagai menteri ketika pentadbiran Parti Warisan pada 2018, sebelum meninggalkan parti itu pada 2022 dan seterusnya menubuhkan Parti KDM.
TAMAT
