KOTA KINABALU, 25 Mac — Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan berhampiran sebuah stesen minyak di Tebobon, Jalan Tuaran, Manggatal, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum kereta dipandunya terbabas lalu merempuh struktur konkrit di bahu jalan.
Sumber awal memaklumkan, mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika memandu, yang mungkin menjadi punca kenderaan tersebut gagal dikawal.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama selepas insiden dilaporkan.
Pasukan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung punca sebenar kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai kemalangan maut dan siasatan masih diteruskan.
TAMAT
