SANDAKAN: Ahli Parlimen Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, meluangkan masa bertemu masyarakat Kampung Combo Bukit dalam suasana sederhana sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh penduduk setempat yang mengambil peluang berinteraksi secara dekat dalam majlis yang berlangsung penuh kekeluargaan itu. Turut sama hadir ialah Pemaju Pembangunan Masyarakat (PPM) N53 Sekong, Safarudin Abu.
Dalam ucapannya, Khairul Firdaus menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan komuniti kampung berkenaan, selain menegaskan kepentingan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni golongan warga emas serta belia, sambil bertanya khabar dan mendengar pandangan mereka mengenai isu setempat.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, beliau turut mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
TAMAT
