SANDAKAN, 23 Mac — Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, petang semalam.
Operasi yang dijalankan antara jam 4 petang hingga 8 malam itu menyasarkan sebuah premis penginapan di pusat bandar Sandakan serta kawasan awam sekitar Bandar Ramai-Ramai.
Dalam serbuan pertama di sebuah penginapan, polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyalahgunakan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif bahan terlarang jenis methamphetamine dan amphetamine. Lelaki terbabit kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari sama, seorang lagi lelaki diberkas di kawasan tepi jalan di Bandar Ramai-Ramai selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu. Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Suspek kedua kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah, selain turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) atas kesalahan penyalahgunaan bahan terlarang.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, operasi bersepadu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan jenayah dadah dapat dikekang secara berkesan demi keselamatan masyarakat setempat.
TAMAT
