KOTA KINABALU, 16 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah berjaya menyelamatkan lima mangsa pemerdagangan orang termasuk seorang kanak-kanak serta menahan 16 individu dalam satu operasi khas yang dijalankan di beberapa daerah di negeri ini.
Operasi dikenali sebagai Op Pintas Bil 2/2026 itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah pada 14 hingga 15 Mac lalu dengan memfokuskan kepada pembanterasan aktiviti pemerdagangan orang serta kesalahan imigresen di kawasan perladangan.
Serbuan dilakukan di beberapa kawasan ladang di daerah Kunak, Kinabatangan dan Beluran hasil risikan serta maklumat awam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun berkata dalam operasi berkenaan pihak polis berjaya menyelamatkan lima individu yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang termasuk seorang kanak-kanak yang disyaki dieksploitasi sebagai pekerja.
Menurutnya seramai 16 individu turut ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada penyelia ladang, pekerja warga asing tanpa dokumen sah serta beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam pengurusan pekerja di ladang berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur eksploitasi pekerja di lokasi serbuan termasuk tindakan majikan yang menahan dokumen perjalanan pekerja, pembayaran gaji yang terlalu rendah serta keadaan tempat tinggal yang tidak kondusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati sebahagian pekerja dipercayai bekerja tanpa dokumen perjalanan serta permit yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Semua mangsa yang diselamatkan telah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di bawah proses perlindungan lanjut manakala kesemua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.
Jauteh menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi membanteras aktiviti pemerdagangan orang serta eksploitasi pekerja.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha penguatkuasaan undang-undang.
TAMAT
