TAMBUNAN, 15 Mac — Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Lubong di sini hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi, mengakibatkan seorang mangsa mengalami kecederaan ringan.
Menurut kenyataan pihak bomba, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.30 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 4.5 kilometer dari balai.
Pasukan pertama tiba di lokasi pada jam 8.36 pagi dan segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang dilaporkan mengalami kemusnahan kira-kira 89 peratus.
Seorang mangsa dilaporkan mengalami kelecuran ringan pada bahagian muka dan tangan, namun keadaan mangsa tidak dilaporkan serius.
Operasi pemadaman membabitkan tujuh anggota bersama seorang pegawai operasi dari BBP Tambunan dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti.
Selain itu, operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal.
Pihak bomba memaklumkan operasi pemadaman tidak berdepan kesukaran kerana bekalan air mencukupi dengan tekanan pili bomba di kawasan kampung berada dalam keadaan baik.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.16 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya empat minit kemudian.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
TAMAT
