KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerima peruntukan RM22.75 juta untuk pemuliharaan biodiversiti serta pengurusan alam sekitar.
Dana tersebut diserahkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Arthur Joseph Kurup kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu pertemuan rasmi di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Hajiji berkata, bantuan kewangan itu mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap komitmen Sabah dalam melaksanakan dasar pemeliharaan alam sekitar yang berkesan dan berterusan.
Katanya , sejak pelaksanaan inisiatif Ecological Fiscal Transfer (EFT) pada 2019, Sabah telah menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM126.36 juta bagi menyokong pelbagai program pemuliharaan sumber semula jadi dan biodiversiti.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar di Sabah,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta usaha menyelaraskan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan negeri.
Langkah itu bertujuan memastikan Sabah dapat memaksimumkan potensi manfaat ekonomi karbon melalui kerangka perundangan yang selaras.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Nor Yahati Awang bersama beberapa pegawai kanan kementerian.
TAMAT
