KOTA KINABALU, 3 Mac — Seorang lelaki maut manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, awal pagi kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPD) pada jam 9.47 pagi berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi.
Menurut laporan awal, insiden berlaku ketika kedua-dua mangsa menjalankan aktiviti memancing berhampiran perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya apabila bot mereka dipercayai berlanggar dengan sebuah bot lain menyebabkan salah seorang mangsa terjatuh ke laut.
Mangsa, Jeksin Bin Eming, 40, dipercayai terjun ke laut untuk menyelamatkan rakannya Jaidin Bin Eming, 30 namun kedua-duanya hilang di permukaan air sebelum operasi menyelamat dilancarkan.
Jeksin kemudiannya berjaya ditemui dan dinaikkan ke bot sebelum dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang.
Sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5.06 petang Jaidin masih belum ditemui.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama lapan anggota Polis Marin serta tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Komander Operasi, PBK I Asama Saruddin, memaklumkan operasi pencarian dijalankan dalam radius tiga batu nautika dari lokasi kejadian dengan kerjasama semua agensi terlibat.
Operasi yang turut menggunakan sebuah bot penyelamat dan beberapa kenderaan sokongan itu akan disambung semula pagi esok.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu di talian 010-9457748.
TAMAT
