SANDAKAN, 1 Mac – Seramai 294 ketua isi rumah di Kampung Cenderamata menerima sumbangan bakul makanan menerusi inisiatif kebajikan yang digerakkan Ahli Parlimen P.185 Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau dalam membantu golongan B40 menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya melibatkan perbelanjaan barangan dapur harian.
Menurut Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P.185 Batu Sapi, Tuan Ajak Hj Sadikal, inisiatif ini telah dilaksanakan secara konsisten sejak YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan diberi mandat mewakili kawasan Parlimen Batu Sapi. Beliau berkata, bantuan berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan, malah menjadi tanda keprihatinan wakil rakyat terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Sebelum ini, program sama turut dilaksanakan di Taman Mawar dan mendapat sambutan positif daripada penduduk setempat.
Bagi sesi terbaharu di Kampung Cenderamata, sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Ajak Hj Sadikal selaku wakil kepada YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau turut memaklumkan bahawa program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
TAMAT
