Suspek Samun Bersenjata Ditahan Kurang 48 Jam, Polis Rampas Pisau dan Motosikal

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 27 Feb – Tindakan pantas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah premis 24 jam di daerah ini, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata suspek berusia 33 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Putatan pada 26 Februari lalu, kurang 48 jam selepas laporan polis diterima.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 3.57 pagi pada 25 Februari apabila suspek dipercayai bersenjatakan pisau bertindak merompak wang tunai berjumlah RM300 sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang berjaya menjejaki serta menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam operasi penahanan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sebilah pisau, sebuah helmet, pakaian dan sebuah motosikal yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah berkenaan.

Semakan lanjut mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes jenayah serta penyalahgunaan dadah. Siasatan juga tidak menolak kemungkinan penglibatan suspek dalam beberapa kes samun lain di sekitar daerah ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article