Laporan Polis Dibuat Terhadap Restoran Di Kiulu Didakwa Beroperasi Secara Haram Atas Rizab Jalan

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,26 FEBRUARI – Satu laporan polis telah dibuat berhubung sebuah restoran di Jalan Tamparuli Kiulu yang didakwa beroperasi secara haram di atas rizab jalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya serta gangguan kepada penduduk sekitar.

Pengadu, SK Ong yang mewakili pemilik tanah berhampiran, membuat laporan tersebut di Balai Polis Daerah Tuaran pada 24 Februari lalu mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan gangguan awam.

Menurut beliau, struktur restoran yang terletak di KM6.6 berhampiran Kampung Rangalau Lama, berdekatan kawasan rekreasi Riverbug, didakwa dibina tanpa kelulusan di atas tanah rizab di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya Sabah.

Beliau turut mendakwa premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan sah serta tidak mempunyai pelan bangunan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, kedudukan restoran di kawasan selekoh yang berbahaya menyebabkan kenderaan pelanggan sering diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang pandangan pemandu dan meningkatkan risiko kemalangan.

Selain itu, beliau turut mendakwa sisa dapur dari premis berkenaan dibuang ke kawasan tanah berhampiran sehingga menimbulkan bau tidak menyenangkan serta menarik kehadiran tikus.

Menurutnya, pemeriksaan sebelum ini telah dijalankan oleh Majlis Daerah Tuaran dan Pejabat Tanah Tuaran, malah prosedur penyingkiran struktur di bawah Seksyen 173 Ordinan Tanah Sabah juga difahamkan telah dimulakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini tiada tindakan penguatkuasaan diambil dan restoran tersebut masih beroperasi seperti biasa.

“Struktur ini telah berada di kawasan berkenaan sejak Ogos tahun lalu dan perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan tanpa tindakan,” katanya.

Beliau berkata laporan polis dibuat selepas aduan kepada Pejabat Daerah Tuaran tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin serta undang-undang dipatuhi.

TAMAT

Share This Article