KOTA KINABALU, 25 Februari — Jumlah penduduk terjejas akibat bencana banjir di seluruh Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 2,616 orang daripada 1,225 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan setakat jam 4 petang hari ini.
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC), sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan 10 daerah yang terjejas.
Laporan itu turut memaklumkan tiada kematian direkodkan setakat ini dan tiada laporan diterima berkaitan mangsa di luar PPS yang terjejas secara serius.
Antara daerah yang dipantau termasuk Telupid, Beluran, Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kudat, Kota Belud, Tuaran, Ranau, Tambunan, Penampang, Putatan, Papar, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan, Sook, Tongod, Kalabakan, Tawau, Kunak, Semporna, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Keningau serta beberapa pulau termasuk Pulau Banggi dan Pulau Sebatik.
Data harian menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS berikutan keadaan cuaca dan paras air yang berubah-ubah di beberapa kawasan rendah.
Pihak berkuasa negeri melalui sekretariat pengurusan bencana terus memantau situasi secara berterusan dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap arahan keselamatan serta perkembangan semasa yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan.
TAMAT
