Lebih 25 Kilogram Syabu Dirampas, Polis Tumpaskan Kegiatan Pengedaran di Penampang

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 24 Feb – Syabu bernilai RM1.29 juta berjaya dirampas oleh polis dalan satu operasi khas di sini.

Syabu seberat 25,744.37 gram itu dirampas di lobi sebuah kondominium di sini.

Rampasan tersebut dilakukan hasil tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang memeriksa empat kotak mencurigakan dan menemui 24 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton dalam kenyataan media hari ini memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan serta menahan individu yang terlibat selain mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras jenayah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.

Orang ramai diseru agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi memastikan daerah Penampang kekal aman dan bebas daripada ancaman tersebut.

TAMAT

Share This Article