BATU SAPI, 23 Feb – Laluan utama menuju ke Kampung Air yang sebelum ini gelap dan berisiko kepada pengguna kini lebih terang susulan pemasangan lima unit lampu solar yang siap dipasang baru-baru ini.
Kemudahan itu merupakan sumbangan Ahli Parlimen P.185 Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, dalam usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Sebelum ini, keadaan laluan yang kurang pencahayaan menimbulkan kebimbangan terutama pada waktu malam kerana boleh mengundang risiko kemalangan serta menyukarkan pergerakan penduduk. Dengan adanya lampu solar tersebut, kawasan berkenaan kini lebih terang dan kondusif untuk digunakan.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti Kampung Air, khususnya dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.
TAMAT
