Hampir 90 Peratus Kemudahan SK Bawang K9 Musnah Akibat Banjir

sabahheadlines
2 Min Read

PAITAN, 23 Feb – Sebuah sekolah rendah SK Bawang K9, Tangkarason Beluran yang berada dalam kawasan daerah Paitan, dilaporkan mengalami kerosakan teruk susulan bencana banjir baru-baru ini apabila hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan sekolah rosak sepenuhnya.

Lawatan ke sekolah berkenaan mendapati kerosakan melibatkan perabot asas bilik darjah, peralatan pengajaran serta kemudahan pentadbiran.

Penilaian awal menunjukkan keperluan mendesak sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set perabot bagi kegunaan pentadbiran sekolah.

Selain itu, sembilan bilik darjah terjejas dan memerlukan papan putih serta televisyen pintar baharu bagi membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan semula.

Lebih membimbangkan, keseluruhan stok buku teks termasuk simpanan di dalam stor musnah, manakala 30 unit komputer riba dan lapan set komputer pelajar tidak lagi boleh digunakan.

Kerosakan turut melibatkan pusat sumber, tandas dan bilik mesyuarat. Malah, 10 tangki simpanan air dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata bantuan segera perlu disalurkan bagi memastikan kerja-kerja pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan sesi persekolahan.

Beliau turut menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta semua Pejabat Pendidikan Daerah agar segera melaporkan sebarang insiden serupa di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses pendidikan murid dapat diteruskan dalam keadaan selamat dan kondusif, selain menjaga kebajikan warga sekolah yang terjejas akibat bencana tersebut.

TAMAT

Share This Article