KINABATANGAN, 18 Feb — Tujuh buah rumah jenis tidak kekal musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Pangkalan Bukit Garam di sini malam tadi manakala seorang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat dilaporkan cedera ketika operasi pemadaman.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.08 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian melibatkan jarak perjalanan sejauh 10 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya memaklumkan kebakaran melibatkan tujuh rumah dengan enam daripadanya terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sekitar 20 peratus.
Rumah yang terlibat terdiri daripada beberapa unit dua tingkat dan rumah kosong dengan anggaran keluasan berbeza.
Turut musnah dalam kejadian itu sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbakar sepenuhnya.
Seramai 17 anggota bomba digerakkan ke lokasi bersama tiga jentera iaitu sebuah CFRT, sebuah FRT dan sebuah kenderaan utiliti.
Operasi turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran selain pam angkut menggunakan sumber air terbuka dari sungai.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Dalam operasi tersebut, seorang anggota bomba dilaporkan mengalami kecederaan namun tiada mangsa awam dilaporkan terlibat.
Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan kira-kira 10 buah rumah berhampiran daripada turut musnah dalam kebakaran.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
TAMAT
