PUTRAJAYA , 20 Januari 2026 – Pelaksanaan semula sistem penilaian murid sekolah rendah bermula Darjah Empat disifatkan sebagai langkah tepat dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, tahap kematangan pembelajaran murid masa kini menuntut pendekatan penilaian lebih awal bagi membantu membentuk kesiapsiagaan akademik mereka.
Menurut beliau, penilaian di peringkat tersebut mampu menyesuaikan pemikiran murid sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.
“Kanak-kanak hari ini lebih matang dari sudut pembelajaran. Penilaian bermula Darjah Empat dapat membantu mereka membina asas pemikiran yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan penstrukturan semula pendidikan awal kanak-kanak, termasuk penetapan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun dan kemasukan ke Darjah Satu pada usia enam tahun mulai 2027.
Mengulas pengumuman itu, James menyatakan sokongan penuh dan menyifatkannya sebagai selari dengan perkembangan semasa kanak-kanak.
“Ramai kanak-kanak kini sudah mampu membaca seawal usia lima tahun. Justeru, kemasukan ke Darjah Satu pada usia enam tahun adalah amat wajar,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan dasar baharu itu dijangka membantu melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia, kompetitif dan berkualiti pada masa hadapan.
TAMAT
