AMT GRS AKAN BINCANG HALA TUJU

sabahheadlines
3 Min Read


KUNAK (12 MEI): Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Hajiji, langkah itu penting bagi memastikan semua keputusan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah serta menjaga kestabilan politik negeri.

“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat beliau tentang bagaimana mewujudkan kestabilan politik di Sabah. Dalam konteks kerjasama, kita tiada masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH Plus.

“Tetapi apa juga keputusan untuk PRN nanti, kita akan rujuk kepada AMT GRS terlebih dahulu. Saya juga nyatakan kepada Perdana Menteri bahawa kita perlu lihat aspirasi tempatan demi membentuk persefahaman politik untuk maju ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak di Padang Pekan Kunak, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Dalam ucapannya, Hajiji sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa GRS harus menerajui kerajaan negeri selepas PRN17 nanti.

Katanya, rakyat Sabah kini mahukan kerajaan yang diketuai oleh parti tempatan, dan GRS merupakan satu-satunya gabungan politik tempatan yang berjaya membuktikan pencapaian dalam pelbagai aspek pembangunan negeri.

“Kita telah melaksanakan banyak inisiatif untuk Sabah dan pembangunan ekonomi negeri turut meningkat. Kita mesti belajar daripada sejarah, kalau asyik bergaduh, negeri akan berpecah,” katanya.

Antara pencapaian terbesar kerajaan negeri ketika ini ialah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, termasuk pegangan 20 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang.

“Dulu kita tak dapat semua ini. Sekarang bila kita runding dengan baik, PETRONAS beri peluang kepada Sabah untuk bangunkan industri minyak dan gas,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menepis dakwaan negatif terhadap kepimpinannya, menyifatkannya sebagai usaha fitnah yang tidak menggambarkan realiti sebenar sokongan rakyat.

“Walaupun saya difitnah sebagai lemah atau sentimental, saya tahu rakyat di belakang GRS. Kita tidak takut untuk pertahankan mandat rakyat,” tegasnya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pewartaan tanah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sebagai rizab kampung untuk Kampung Kunak Jaya, Bagian dan Selamat, selain meluluskan peruntukan RM1.2 juta untuk pembinaan jeti di Kampung Pangkalan, seperti yang diminta oleh ADUN Kunak.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyeru rakyat Kunak supaya terus menyokong Norazlinah dan memastikan kemenangan GRS dalam PRN17 bagi menjamin kelangsungan pembangunan di daerah itu.

TAMAT

Share This Article