OLEH: JALIE MOHAMAD
Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan warisan budaya etnik melalui penyertaan aktif dalam Karnival Kaamatan 2025 yang berlangsung meriah di Taman Tun Razak, Sandakan.
Majlis itu telah dirasmikan oleh YB Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Presiden SABAS, Dato’ Juhari Haji Janan berkata SABAS sering menyertai karnival dan persatuan ini aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk pameran kebudayaan lain seperti Kota Kinabalu.
Katanya penyertaan SABAS kali ini mengetengahkan elemen unik budaya orang Sungai termasuk tarian tradisional, muzik etnik menggunakan alat tradisional dan makanan warisan tempatan.
“Kita juga mempamerkan artifak dan peralatan lama yang berusia ratusan tahun. Artifak yang kami pamerkan adalah asli dan bersejarah. Sukar ditemui di pasaran, dan menjadi bukti penting kepada kewujudan serta peradaban lama masyarakat Sungai,”katanya lagi.
SABAS turut melibatkan generasi muda dalam aktiviti seni pertukangan tangan seperti pembuatan damas dan gapang, bagi menyemai minat serta memastikan kesinambungan budaya dalam kalangan anak muda.
Penyertaan SABAS telah mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dan pujian dari pihak penganjur, membuktikan bahawa usaha mempertahankan budaya etnik bukan sahaja relevan tetapi penting dalam memperkukuh jati diri dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Juhari berkata SABAS merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan serta ruang yang diberikan, dan berhasrat untuk terus menyertai program-program kebudayaan yang akan datang demi mengangkat budaya Orang Sungai ke peringkat lebih tinggi.
Tamat